gastrik gerd

Selepas menikmati hidangan kegemaran, tiba-tiba rasa pedih mula menjalar di dada, atau perut kembung yang berterusan membuatkan makanan enak tadi terasa seperti satu kesilapan yang besar. Bagi sesetengah orang, ini bukan sesuatu yang luar biasa – ia adalah cabaran harian. Tetapi adakah ini hanya masalah penghadaman biasa, atau mungkin ada sesuatu yang lebih serius sedang berlaku?

Gastrik atau GERD adalah dua masalah pencernaan yang sering dialami oleh orang ramai, namun sering disalah anggap. Gastrik merujuk kepada keradangan atau iritasi pada lapisan perut, sementara GERD adalah keadaan di mana asid perut mengalir semula ke esofagus (saluran makanan) menyebabkan rasa terbakar di dada atau pedih ulu hati. Walaupun kedua-duanya melibatkan sistem percernaan, lokasi dan cara ia berlaku adalah berbeza. Gastrik lebih tertumpu pada perut, manakala GERD pula melibatkan masalah pada esofagus.

Masalah GERD dan gastrik ini bukanlah sesuatu yang jarang berlaku. Ramai yang mengalaminya, namun tidak semua tahu bagaimana untuk membezakan dan menangani kedua-dua keadaan ini dengan betul, menyebabkan masalah ini menjadi lebih serius dari semasa ke semasa. Oleh itu, memahami perbezaan antara GERD dan gastrik serta puncanya adalah langkah pertama untuk mengembalikan kesejahteraan kesihatan penghadaman anda.

GERD: Apa yang Anda Perlu Ketahui

Apa Itu GERD?

Gastroesophageal Reflux Disease, atau GERD adalah gangguan pencernaan yang menyebabkan asid perut naik ke dalam esofagus. Cuba bayangkan apabila anda menelan makanan, dan makanan tersebut akan masuk ke dalam saluran yang dikenali sebagai esofagus – organ berbentuk tiub yang membawa makanan dari mulut ke perut anda. GERD berlaku apabila injap otot sfinkter di hujung esofagus yang sepatutnya menutup di antara perut dan esofagus gagal berfungsi dengan baik, membenarkan asid masuk semula ke saluran esofagus dan menyebabkan kerengsaan. Bayangkan injap otot sfinkter seperti pintu almari yang tidak dapat ditutup dengan rapat, baju yang penuh dalam almari menolak pintu almari dari dalam sehingga menyebabkan baju berteraburan di atas lantai.

tanda gerd
tanda gerd

Punca GERD

Punca penyakit GERD boleh dikaitkan dengan pelbagai faktor yang mempengaruhi fungsi sistem pencernaan. Mari lihat dengan lebih mendalam faktor-faktor utama yang menyumbang kepada GERD:

  • Kelemahan pada injap otot di antara esofagus dan perut
  • Obesiti atau berat badan berlebihan
  • Makan dalam jumlah yang banyak
  • Kehamilan
  • Pengambilan makanan berasid atau pedas
  • Pengambilan ubat tahan sakit
  • Merokok
  • Stres

Simptom GERD

Masalah GERD bukan sahaja menyebabkan ketidakselesaan tetapi juga boleh menjejaskan kualiti hidup jika tidak dirawat. Berikut adalah beberapa GERD simptom yang biasa dialami:

  • Pedih ulu hati – rasa terbakar atau pedih di dada
  • Rasa masam atau pahit di bahagian belakang mulut
  • Kesukaran menelan
  • Batuk berterusan atau suara serak

Namun jika penyakit GERD dibiarkan, ia boleh menjadi lebih serius. Tanda-tanda GERD teruk yang perlu diberi perhatian termasuk:

  • Sakit dada yang berpanjangan – sering dianggap sebagai serangan jantung
  • Kesukaran menelan yang semakin teruk
  • Penurunan berat badan, disebabkan kesukaran untuk makan

Sesiapa sahaja – orang dewasa atau kanak-kanak boleh menghidap GERD. Jika tidak dirawat, GERD boleh menyebabkan kerosakan jangka panjang kepada esofagus, seperti ulser atau bahkan kanser esofagus. Kanser esofagus berlaku apabila sel-sel dalam lapisan esofagus mengalami perubahan abnormal dan berkembang secara tidak terkawal. Ada beberapa faktor yang boleh meningkatkan risiko individu mengalami kanser esofagus, iaitu penyakit GERD kronik yang menyebabkan keradangan berterusan pada esofagus, merokok, obesiti, pengambilan alkohol berlebihan, kurang serat dalam makanan serta pendedahan kepada radiasi berpanjangan pada bahagian dada atau leher.

Gastrik: Apa yang Anda Perlu Ketahui

gerd in malaysia
gerd in malaysia

Apa Itu Gastrik?

Gastrik atau gastritis merujuk kepada keradangan pada lapisan dinding perut. Kebiasaannya berlaku apabila perut menghasilkan terlalu banyak asid atau lapisan pelindung perut terjejas. Ini boleh menyebabkan rasa sakit, kembung dan ketidakselesaan selepas makan.

Punca Gastrik

Gastrik boleh berlaku disebabkan oleh beberapa faktor yang menjejaskan kesihatan perut. Antara punca gastrik yang biasa adalah:

  • Pemakanan tidak teratur
  • Pengambilan makanan pedas atau berlemak secara berlebihan
  • Pengambilan ubat tahan sakit secara kerap
  • Jangkitan bakteria Helicobacter pylori
  • Tabiat merokok
  • Stres

Simptom Gastrik

Masalah gastrik boleh menyebabkan beberapa tanda yang jelas. Cuba perhatikan adakah anda pernah mengalami simptom-simptom gastrik seperti:

  • Gastrik pedih ulu hati – rasa pedih di perut
  • Sakit perut
  • Kembung atau rasa penuh di perut
  • Mual atau muntah
  • Hilang selera makan

Adakah terdapatnya cara hilangkan gastrik? – Jangan risau. Untuk mengatasi masalah gastrik, perubahan gaya hidup dan diet yang sihat adalah sangat penting. Pastikan anda makan secara teratur dan tidak meninggalkan waktu makan. Pilih makanan yang mudah dicerna dan elakkan makanan yang terlalu pedas, masam atau berlemak. Selain itu, amalkan gaya hidup sihat dengan melakukan senaman ringkas secara konsisten, kurangkan stres dan dapatkan tidur yang mencukupi. Elakkan merokok, pengambilan alkohol serta tidak makan terlalu banyak dalam satu hidangan. Dengan langkah ini, anda boleh mengurangkan risiko serta simptom GERD dan gastrik untuk kesihatan perut yang lebih baik.

Hubungan antara GERD dan Gastrik

gerd adalah
gerd adalah

Bolehkah GERD Menyebabkan Gastrik?

Jawapannya adalah ya, dalam keadaan tertentu. GERD berlaku apabila asid perut naik ke esofagus, menyebabkan keradangan dan iritasi. Jika keadaan ini berterusan dalam jangka masa panjang, ia bukan sahaja mengganggu esofagus, tetapi boleh memberi kesan kepada lapisan perut, menyebabkan masalah gastrik.

Adakah Gastrik Boleh Memburukkan GERD?

Di sini jawapannya lebih kompleks. Masalah gastrik seperti keradangan lapisan perut (gastritis) tidak secara langsung menyebabkan penyakit GERD. Namun, kedua-dua keadaan ini sering berlaku serentak kerana mempunyai faktor atau punca risiko yang sama, seperti diet, gaya hidup atau keadaan kesihatan tertentu.

Walaubagaimanapun, gastrik dan GERD boleh berkait dalam kes tertentu, seperti gastritis antrum. Kajian menunjukkan bahawa gastritis antrum iaitu keradangan pada bahagian perut bawah, mempunyai kaitan yang ketara dengan GERD. Bakteria Helicobacter pylori (H. pylori) yang sering menjadi punca gastritis antrum, boleh mencetuskan keradangan dan peningkatan pengeluaran asid perut. Lebihan asid ini meningkatkan risiko refluks asid, iaitu ciri utama GERD. Selain itu, asid yang berlebihan boleh memberi tekanan pada injap otot sfinkter (Lower Esophageal Sphincter) menjadi lemah dan memudahkan refluks asid berlaku.

GERD dan Gastrik: Kesan Bersama Terhadap Kesihatan

Walaupun penyakit GERD dan gastrik adalah dua keadaan berbeza, kedua-duanya berkongsi satu elemen utama – iaitu asid perut. Dalam sesetengah kes, keradangan dan iritasi daripada GERD mungkin boleh memberi kesan kepada lapisan perut, sementara keradangan daripada gastritis boleh memperburuk simptom GERD.

Perlu diingatkan, faktor atau punca risiko boleh menyumbang kepada kedua-dua keadaan ini. Antaranya, jangkitan H. pylori sering menjadi punca utama gastritis dan mungkin secara tidak langsung mempengaruhi GERD dengan meningkatkan pengeluaran asid perut. Penggunaan ubat NSAID seperti aspirin dan ibuprofen secara kerap boleh merosakkan lapisan pelindung perut, menyebabkan gastritis dan memperburuk simptom GERD.

Simptom-simptom Umum GERD dan Gastrik

Pernah rasa pedih ulu hati yang tak tertahan? Atau mungkin perut tiba-tiba kembung dan sakit tanpa sebab? Hmmm, adakah itu GERD atau gastrik? Mungkin kedua-duanya!

Simptom GERD dan gastrik mungkin kelihatan sama pada pandangan pertama, tetapi setiap satu sebenarnya mempunyai gejala tersendiri yang boleh membantu anda mengenal pasti masalah sebenar.

Simptom GERD

  1. Pedih ulu hati – Rasa terbakar di dada yang biasanya muncul selepas makan, atau lebih teruk bila berbaring.
  2. Rasa masam atau pahit di mulut – Pernah rasa seperti jus lemon atau cuka tiba-tiba singgah di tekak anda? Ini berlaku kerana asid perut naik ke esofagus dan menyebabkan rasa kurang menyenangkan di mulut.
  3. Batuk berterusan – Batuk berterusan dan suara juga mungkin menjadi serak.
  4. Kesukaran menelan – Terasa makanan seperti “tersangkut” dalam perjalanan ke perut.
  5. Sakit dada – GERD memang suka “menyamar”, kadang-kala anda mungkin tersalah anggap sebagai serangan jantung.

Simptom Gastrik

  1. Sakit perut atau kembung – terutama selepas makan.
  2. Rasa penuh atau kenyang – Anda baru makan sedikit, tetapi merasakan perut sudah penuh.
  3. Mual atau muntah – Kadang-kadang rasa loya tanpa sebab, lebih-lebih lagi bila perut kosong. Dalam kes yang teruk, muntah mungkin berlaku.
  4. Kurang selera makan – Makan tidak lagi menggembirakan apabila perut anda sakit.
  5. Gas dan sendawa berlebihan – Terasa seperti angin berkumpul di perut dan sendawa menjadi teman rapat yang selalu muncul.

Mari kita lihat apa simptom-simptom yang biasa berlaku dalam kedua-dua keadaan ini, dan bagaimana anda boleh membezakannya.

ubat gerd
ubat gerd

Bila perlu berjumpa dengan doktor? – Jangan tunggu sampai keadaan menjadi lebih teruk! Jika anda mengalami simptom-simptom ini secara berterusan atau semakin teruk, sudah tiba masanya untuk berjumpa doktor.  Berikut adalah beberapa tanda yang perlu diberi perhatian:

  • Pedih ulu hati berulang yang tidak hilang walaupun selepas ubat
  • Kesukaran menelan yang semakin teruk
  • Sakit dada secara kerap
  • Mual, muntah atau hilang selera makan yang berlarutan
  • Berat badan menurun tanpa sebab jelas

Sekiranya tanda-tanda gastrik atau GERD mengganggu kehidupan seharian anda atau rasa tidak biasa, lebih baik mendapatkan nasihat doktor. Dengan mengetahui simptomnya, anda boleh menangani masalah pencernaan dengan berkesan, bak kata pepatah ‘mencegah lebih baik daripada mengubati’. Ingat semakin awal anda bertindak, semakin mudah untuk mengawal masalah ini.

Punca GERD dan Gastrik: Apa yang Mencetuskan Masalah Ini?

Pernahkan anda terfikir, kenapa perut tiba-tiba rasa pedih, atau dada terasa terbakar selepas makan? Adakah kerana pilihan makanan anda hari ini? Atau mungkin tekanan kerja yang tidak pernah habis? Bagaimana pula dengan ubat tahan sakit yang sentiasa menjadi peneman disaat sakit kepala melanda? GERD dan gastrik tidak berlaku begitu sahaja. Setiap faktor, daripada gaya hidup seharian hingga keadaan kesihatan tertentu, boleh menjadi pencetus kepada masalah ini.

  1. Faktor Gaya Hidup

Beberapa amalan harian yang sering dianggap remeh sebenarnya boleh memberi kesan kepada kesihatan perut, lalu mencetuskan GERD dan gastrik.

  • Pemakanan tidak sihat – Makan makanan pedas, berasid, berminyak atau terlalu banyak dalam satu masa boleh merangsang pengeluaran asid perut yang berlebihan.
  • Berat badan berlebihan – Obesiti meningkatkan tekanan pada perut, menyebabkan asid mudah naik ke esofagus (GERD) atau merosakkan lapisan perut (gastrik).
  • Merokok dan minum minuman beralkohol – Kedua-dua tabiat ini jika berlebihan boleh merosakkan kesihatan pencernaan anda. Merokok melemahkan sfinkter esofagus bawah yang menyebabkan refluks. Alkohol pula merosakkan lapisan pelindung perut yang boleh mencetuskan keradangan dan meningkatkan risiko gastrik.
  • Tekanan – Stres yang tinggi boleh mengganggu sistem pencernaan, meningkatkan pengeluaran asid dan memperburuk masalah GERD dan gastrik.

 

  1. Faktor Kesihatan

Beberapa keadaan kesihatan tertentu juga boleh meningkatkan risiko GERD dan gastrik:

  • Hiatus Hernia – Keadaan di mana sebahagian daripada perut berada di rongga dada disebabkan otot diafragma yang lemah. Hiatus hernia boleh meningkatkan tekanan dalam perut yang menyebabkan asid perut lebih mudah naik ke esofagus.
  • Kehamilan – Perubahan hormon dan tekanan daripada rahim yang semakin membesar boleh mencetuskan GERD.
  • Jangkitan Helicobacter pylori ( H. pylori) – Bakteria ini adalah punca utama gastrik dan boleh mencetuskan keradangan kronik pada lapisan perut.

 

  1. Penggunaan Ubatan Tertentu

Beberapa ubatan boleh menjadi penyebab utama keradangan perut atau melemahkan injap sfinkter esofagus, termasuk:

  • NSAIDs (Non-Steroidal Anti-Inflammatory Drugs) – Penggunaan ubat tahan sakit yang berlebihan, seperti aspirin dan ibuprofen boleh merosakkan lapisan pelindung perut, menyebabkan masalah gastrik.
  • Ubat antibiotik – biasanya digunakan untuk melawan jangkitan bakteria, tetapi antibiotik juga boleh merengsakan lapisan perut dan menyebabkan kesan sampingan yang berkaitan sistem pencernaan dengan menjejaskan keseimbangan mikrobiom usus.

Diagnosis GERD dan Gastrik

Setakat ini, adakah anda betul-betul mengalami GERD atau gastrik? Usah berteka-teki lagi! Mendiagnosis GERD dan gastrik memerlukan lebih daripada sekadar meneka. Untuk memastikan rawatan yang tepat bagi mengatasi masalah GERD dan gastrik, ujian yang betul perlu dilakukan. Jom lihat ujian-ujian yang biasa dilakukan dan kenapa diagnosis yang tepat sangat penting untuk kesihatan perut anda.

  • Endoskopi – prosedur yang menggunakan alat berkamera dimasukkan melalui mulut ke dalam perut untuk memeriksa keadaan esofagus dan perut. Pemeriksaan ini membantu untuk mengesan sebarang kerosakan atau keradangan disebabkan oleh asid perut.
  • Ujian darah – untuk mengesan jangkitan H. pylori yang boleh menyebabkan gastrik serta mengesan keradangan.
  • Ujian ‘Barium Meal’ – pengambilan minuman barium yang akan dilihat melalui sinaran X-Ray untuk memeriksa masalah pada esofagus dan perut seperti masalah refluks atau hiatus hernia.
  • Ujian pH esofagus – mengukur jumlah asid dalam esofagus selama 24 jam untuk menentukan seberapa kerap asid naik ke esofagus.

Diagnosis yang tepat bukan sahaja membantu dalam memilih rawatan yang sesuai tetapi juga mencegah komplikasi jangka panjang seperti ulser atau kanser. Oleh itu, jangan ambil ringan jika terdapat masalah pencernaan yang berterusan. Dapatkan diagnosis yang tepat melalui ujian yang betul dan mulakan perjalanan penyembuhan dengan langkah yang lebih yakin.

Rawatan GERD dan Gastrik

Masalah GERD dan gastrik memang boleh membuat kita rasa tidak selesa, tapi tahukah anda bahawa terdapat banyak cara untuk mengurangkan gejala GERD dan gastrik? Dari perubahan gaya hidup, ubat-ubatan berkesan, hingga pembedahan untuk kes yang lebih serius – semua ini boleh membantu anda merasa lebih baik. Jom kita selami langkah-langkah dan rawatan untuk mencegah masalah pencernaan ini.

  1. Perubahan Gaya Hidup – Ya, semuanya bermula dengan gaya hidup yang sihat.

Pemakanan sihat:

  • Elakkan makanan pedas, terlalu berasid, berminyak atau berlemak.
  • Makan dalam hidangan yang kecil – cuba elakkan makan dalam kuantiti yang banyak sekaligus, ini dapat membantu mengurangkan tekanan pada perut.
  • Sayur-sayuran dan buah-buahan sangat bagus untuk diet harian anda

Senaman:

  • Aktiviti fizikal ringan dan sederhana boleh membantu mengawal berat badan dan meningkatkan pergerakan usus seterusnya mengurangkan tekanan pada perut yang boleh menyebabkan GERD dan gastrik.

Posisi tidur:

  • Tidur dengan kepala lebih tinggi boleh membantu mengurangkan simptom GERD dengan mengurangkan risiko asid perut naik ke esofagus. Tip mudah – guna bantal yang sedikit tinggi.
  • Baru selesai makan? – elakkan berbaring selepas makan.
  1. Ubat-ubatan

Selain perubahan gaya hidup, ubat-ubatan juga menjadi pilihan utama untuk mengawal GERD dan gastrik dari memberikan kelegaan segera hingga ke rawatan jangka panjang.

  • Antasid: membantu meneutralkan asid perut dan memberi kelegaan sementara daripada pedih ulu hati atau ketidakselesaan gastrik. Tetapi perlu diingati, penggunaan antasid sahaja tidak akan menyembuhkan keradangan esofagus. Sesetengah antasid jika berlebihan boleh menyebabkan kesan sampingan seperti cirit-birit atau komplikasi buah pinggang.
  • Perencat pam proton (PPIs) – mengurangkan pengeluaran asid perut. Sering digunakan untuk merawat GERD dan gastrik dengan menghalang asid berlebihan yang boleh menyebabkan keradangan.
  • Penyekat histamin (H-2) – ubat yang membantu mengurangkan pengeluaran asid perut. Tetapi berbeza dengan PPIs, ia lebih digunakan untuk kes gastrik yang lebih ringan.
  1. Pembedahan – untuk kes yang serius
  • Fundoplikasi: prosedur pembedahan untuk merawat GERD yang serius atau tidak terkawal dengan rawatan lain. Pembedahan seperti fundoplikasi Nissen boleh dilakukan untuk memperbaiki fungsi sfinkter esofagus bawah dan mengurangkan refluks asid. Bahagian atas perut dibalut sepenuhnya di sekitar esofagus bawah untuk mengetatkan otot sfinkter esofagus.
  • Pembedahan hiatus hernia: Hiatus hernia berlaku apabila sebahagian perut menonjol ke dalam rongga dada melalui bukaan pada diafragma. Pembedahan biasanya disarankan jika hernia menyebabkan komplikasi seperti GERD atau sakit dada yang berterusan. Prosedur ini bertujuan untuk membetulkan kedudukan perut yang tergelincir ke dada dan mengembalikan ke lokasi asalnya di dalam rongga perut. Selain itu, pembedahan ini juga membantu menguatkan sfinkter esofagus bawah, iaitu injap otot yang berfungsi untuk menghalang asid perut daripada naik ke esofagus sekaligus mengurangkan simptom GERD.

Jom Cegah GERD dan Gastrik

Mencegah lebih baik daripada mengubati – pepatah ini sangat relevan untuk GERD dan gastrik. Dengan mengambil langkah pencegahan, anda bukan sahaja dapat elakkan masalah berkaitan pencernaan ini, tetapi juga meningkatkan kualiti hidup. Ikuti beberapa tips dan cara yang boleh membantu anda menjaga kesihatan perut.

  1. Makan dengan Betul

Bercakap tentang makan, siapa yang tak suka menikmati pelbagai jenis hidangan, bukan? Tetapi tahukah anda bahawa tabiat makan yang salah boleh mengundang masalah GERD dan gastrik?

        2. Pemakanan yang Sihat

Pemakanan yang sihat bukan sahaja membantu mengekalkan tenaga, tetapi juga memainkan peranan penting dalam mengelakkan masalah pencernaan seperti GERD dan gastrik. Dengan memilih makanan yang betul, anda dapat membantu mengurangkan risiko asid perut berlebihan dan keradangan.

  • Pilih makanan tinggi serat – perbanyakkan sayur-sayuran, buah-buahan dan bijirin penuh dalam makanan harian. Serat, vitamin dan mineral membantu meningkatkan penghadaman, mengurangkan keradangan dan pengeluaran asid berlebihan di perut.
  • Amalkan pengambilan makanan yang ditapai – makanan seperti yogurt, kimchi atau minuman susu kultur seperti Yakult yang mengandungi probiotik sangat baik untuk mengekalkan keseimbangan mikrobiota usus dan menyokong pencernaan yang sihat.
  • Minum air secukupnya – kekal hidrat untuk elakkan perut kering dan kerengsaan

        3. Berhenti Merokok dan Kurangkan Alkohol

Siapa sangka, dua tabiat yang dianggap ‘biasa’ seperti merokok dan minum alkohol sebenarnya boleh menjadi penyebab utama masalah GERD dan gastrik. Tabiat tidak sihat ini boleh merosakkan lapisan perut dan melemahkan sfinkter esofagus. Mungkin sudah tiba masanya untuk tinggalkan tabiat tersebut sekiranya anda betul-betul serius untuk menjaga kesihatan perut anda.

        4. Kurangkan Tekanan

Tekanan atau stres adalah salah satu faktor yang boleh memperburuk GERD dan gastrik. Stres boleh meningkatkan pengeluaran asid perut, melemahkan fungsi sfinkter esofagus, mengganggu pencernaan dan melemahkan sistem imun. Apabila tertekan, seseorang mungkin cenderung untuk makan secara berlebihan, makan makanan tidak sihat atau melewatkan waktu makan. Semua ini dapat memperburuk simptom GERD dan gastrik.

Anda sedang stres? Cuba amalkan cara ini untuk menguruskan stres dengan lebih baik:

  • Senaman ringan – Aktiviti seperti berjalan kaki atau yoga boleh membantu mengurangkan tekanan dan meningkatkan penghadaman.
  • Teknik relaksasi – Amalkan meditasi, pernafasan dalam atau mendengar muzik untuk menenangkan minda. Anda juga boleh mencuba hobi kegemaran, ianya pasti membuatkan anda lebih santai dan gembira.
  • Rancang jadual harian – pengurusan masa yang baik dapat mengurangkan beban kerja dan menjadikan aktiviti harian lebih teratur.

GERD dan Puasa

Kesan Puasa Terhadap GERD

Bulan Ramadan bakal tiba lagi. Bulan yang penuh dengan berkat, namun bagi mereka yang mengalami GERD, berpuasa mungkin menimbulkan kebimbangan mengenai peningkatan simptom seperti pedih ulu hati atau refluks asid. Jangan risau, walaupun berpuasa boleh jadi mencabar bagi penghidap GERD, dengan perancangan yang betul, anda masih boleh menikmati bulan Ramadan tanpa gangguan pedih ulu hati atau masalah pencernaan.

Semasa berpuasa, perubahan pola makan boleh memberi kesan kepada sistem pencernaan terutamanya penghidap GERD. Berpuasa dalam jangka masa panjang boleh meningkatkan pengeluaran asid perut lebih-lebih lagi apabila makan secara berlebihan semasa berbuka serta boleh memberi tekanan pada perut menyebabkan asid naik ke esofagus. Perut kosong dalam tempoh yang lama juga boleh meningkatkan pengeluaran asid.

Tips untuk Berpuasa bagi Penghidap GERD

Bagaimana saya boleh berpuasa dengan selesa? – Jawapannya terletak pada pemilihan makanan, jadual makan yang teratur dan beberapa perubahan kecil dalam rutin harian anda. Ikuti tips-tips mudah yang membantu anda menjalani ibadah puasa dengan selesa.

 

Tip semasa bulan puasa: Mengambil probiotik semasa berpuasa sangat digalakkan untuk membantu menjaga kesihatan pencernaan. Probiotik adalah mikroorganisma hidup yang memberi manfaat kesihatan apabila diambil dalam jumlah yang mencukupi. Salah satu sumber terbaik probiotik ialah minuman susu kultur seperti Yakult, yang mudah dimasukkan dalam rutin harian semasa sahur atau berbuka. Apakah manfaat probiotik? – membantu penghadaman dengan mengimbangi bakteria baik dalam usus, melancarkan pergerakan usus, mengurangkan masalah seperti sembelit dan kembung perut yang sering berlaku semasa berpuasa. Selain itu, probiotik seperti Lacticaseibacillus paracasei strain Shirota yang terdapat dalam Yakult dapat membantu mengurangkan keradangan dalam saluran pencernaan serta menurunkan pengeluaran asid perut berlebihan – ini amat berguna untuk meredakan gejala refluks asid yang sering dialami oleh penghidap GERD.

Makanan: Apa yang Boleh atau Tidak?

Sekiranya anda mengalami masalah GERD tidak bermaksud anda tidak boleh menikmati makanan yang sedap. Rahsianya? Kenali makanan yang sesuai dan elakkan makanan yang berisiko mencetuskan simptom GERD. Dengan perancangan yang betul, anda dapat menikmati makanan dengan lebih tenang dan selesa! Jom lihat senarainya dan mulakan pilihan yang bijak untuk perut anda.

Makanan yang Mencetuskan GERD

Kesederhanaan adalah kunci bagi mengatasi masalah berkaitan GERD kerana ramai yang mungkin tidak dapat atau mahu mengelakkan sepenuhnya makanan ini. Tetapi cuba elakkan untuk makan makanan yang menjadi pencetus GERD pada lewat petang kerana dekat dengan waktu tidur. Ini bagi memastikan asid perut tidak naik ke esofagus apabila anda berbaring pada waktu malam.

Makanan yang Disyorkan

Anda sedang fikirkan makanan yang boleh diambil? Berita baik – terdapat pelbagai makanan yang boleh anda nikmati untuk membantu mencegah simptom GERD. Pastikan dapur anda sentiasa dipenuhi dengan makanan daripada kategori ini:

GERD di Malaysia

Statistik GERD di Malaysia

Di Malaysia, GERD bukan lagi masalah kesihatan yang jarang berlaku. Dengan gaya hidup moden dan perubahan tabiat pemakanan, semakin ramai rakyat Malaysia menghadapi simptom atau tanda-tanda GERD. Walaupun kajian mengenai kadar sebenar GERD masih terhad, beberapa kajian memberikan gambaran jelas tentang faktor penyumbang kepada peningkatan kes ini. Kajian oleh Rajendra dan Alahuddin (2004) melaporkan bahawa 33.6% rakyat Malaysia mengalami pedih ulu hati sekurang-kurangnya sekali setahun, manakala 9.7% melaporkan mengalami tanda GERD setiap bulan. Kajian Rosaida dan Goh (2004), mendapati GERD dikesan pada 38.8% pesakit yang menjalani pemeriksaan endoskopi, dengan 13.4% daripadanya mengalami reflux esophagitis (keradangan akibat refluks asid) Sebahagian besar kes GERD adalah tanpa keradangan serius tetapi tetap menjejaskan kualiti hidup. Gaya hidup kurang aktif, diet tinggi lemak dan obesiti dikenal pasti sebagai faktor utama peningkatan kes GERD di Malaysia.

Selain itu, peningkatan kes GERD di Malaysia berkait rapat dengan obesiti. Menurut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2023, 54.4% orang dewasa di Malaysia mengalami berat badan berlebihan atau obesiti, mencatat peningkatan yang membimbangkan. Berat badan berlebihan meningkatkan tekanan pada abdomen, melemahkan sfinkter esofagus bawah, dan akhirnya mencetuskan refluks asid. Pilihan gaya hidup yang tidak sihat, seperti pengambilan makanan diproses dan kurang aktiviti fizikal turut menyumbang kepada masalah ini.

Kemudahan Rawatan yang Tersedia

Apabila berdepan dengan simptom GERD, mendapatkan rawatan GERD yang tepat adalah langkah penting untuk mencegah komplikasi jangka panjang. Berita baiknya terdapat pelbagai kemudahan rawatan yang tersedia di Malaysia untuk membantu pesakit menguruskan keadaan ini dengan berkesan.

        a. Rawatan di Klinik atau Hospital

Kebanyakan klinik kesihatan kerajaan dan hospital swasta menyediakan rawatan asas untuk GERD, termasuk konsultasi doktor untuk mengenal pasti punca dan tahap sakit GERD. Pesakit biasanya diberikan preskripsi ubat GERD seperti antasid, perencat pam proton (PPIs) dan penyekat histamin (H-2).

        b. Pusat Pakar Gastroenterologi

Hospital besar seperti Hospital Kuala Lumpur (HKL), Hospital Sultanah Aminah, Hospital Canselor Tuanku Mukriz dan hospital swasta terkemuka mempunyai pakar gastroenterologi untuk diagnosis dan rawatan lanjut seperti endoskopi.

        c. Ujian Diagnostik dan Pembedahan

Prosedur seperti ujian endoskopi, ujian pH esofagus, ujian manometri esofagus dan ujian radiologi barium swallow tersedia untuk mendiagnosis GERD dengan lebih tepat. Untuk kes GERD yang teruk atau tidak terkawal dengan ubat, rawatan pembedahan seperti fundoplikasi Nissen boleh didapati di hospital tertentu.

        d. Rawatan Alternatif dan Pendidikan Pesakit

Klinik dan pusat kesihatan juga menawarkan kaunseling diet dan pendidikan pesakit untuk membantu perubahan gaya hidup yang merupakan langkah penting dalam pengurusan GERD.

Kesimpulan

GERD bukan lagi masalah kesihatan yang boleh dipandang remeh, di mana gaya hidup moden dan tabiat pemakanan tidak sihat telah menyumbang kepada peningkatan kes GERD di Malaysia. Simptom GERD termasuk pedih ulu hati dan refluks asid bukan sahaja menjejaskan keselesaan harian tetapi juga berpotensi menyebabkan komplikasi serius jika tidak diuruskan dengan baik. Walau bagaimapun, GERD dapat dikawal melalui perubahan gaya hidup yang sihat, pemilihan makanan yang tepat dan rawatan perubatan yang sesuai. Kesedaran mengenai punca, simptom dan rawatan GERD adalah penting untuk menangani penyakit ini dengan lebih efektif. Dengan mengambil langkah pencegahan yang proaktif, kita dapat memastikan GERD tidak menjadi penghalang kepada kualiti hidup yang baik. Mari kita jadikan kesihatan pencernaan sebagai keutamaan untuk hidup yang lebih sihat dan selesa.

Reference:

7 Foods to Add to Your Diet for Acid Reflux. (n.d.). Healthline. https://www.healthline.com/health/gerd/diet-nutrition#foods-to-avoid

aimerul. (2022, May 13). Ketahui Apa Itu GERD Dan Kanser Esofagus Serta Risiko, Gejala Dan Rawatannya.Upm.edu.my. https://care.upm.edu.my/article/ketahui_apa_itu_gerd_dan_kanser_esofagus_serta_risiko_gejala_dan_rawatannya-61052

Amali, K. H., Wai Kent, L., Palaniveloo, L., Baharudin, A., Mohd Sallehuddin, S., Mohd Zaki, N. A., & Wai Siew, T. (2023). National Health and Morbidity Survey (NHMS) 2023 Technical Report. In Institute For Public Health Ministry Of Health Malaysia. https://iku.nih.gov.my/nhms-2023 Non-Communicable Diseases: Overweight And Obesity

Azuar, A. (2022, April 28). Rising GERD cases in Malaysia due to poor lifestyle choices. The Malaysian Reserve. https://themalaysianreserve.com/2022/04/28/rising-gerd-cases-in-malaysia-due-to-poor-lifestyle-choices/

Bagaimana Rasanya Gastrik Angin? Ini 8 Tanda Untuk Bezakan Dengan Sakit Perut Biasa. (2021, September 28). Hello Doktor. https://hellodoktor.com/penyakit-perut-gastrousus/gastrik/tanda-sakit-gastrik-angin/

‌Dr. Elias Darido. (2022, November 21). Can Gastritis Cause Acid Reflux? – Houston Heartburn and Reflux Center. Houston Heartburn and Reflux Center. https://houstonheartburn.com/can-gastritis-cause-acid-reflux/

Medline Plus. (2019). GERD. Medlineplus.gov; National Library of Medicine. https://medlineplus.gov/gerd.html

Nobakht, H., Boghratian, A., Sohrabi, M., Panahian, M., Rakhshani, N., Nikkhah, M., Ajdarkosh, H., Hemmasi, G., Khonsari, M., Gholami, A., Rabiei, N., & Zamani, F. (2016). Association between Pattern of Gastritis and Gastroesophageal Reflux Disease in Patients with Helicobacter Pylori Infection. Middle East Journal of Digestive Diseases8(3), 206–211. https://doi.org/10.15171/mejdd.2016.33

Rajendra, S., & Alahuddin, S. (2004). Racial differences in the prevalence of heartburn. Alimentary Pharmacology & Therapeutics19(3), 375–376. https://doi.org/10.1111/j.1365-2036.2004.01814.x

‌Rosaida, M. S., & Goh, K.-L. (2004). Gastro-oesophageal reflux disease, reflux oesophagitis and non-erosive reflux disease in a multiracial Asian population. European Journal of Gastroenterology & Hepatology16(5), 495–501. https://doi.org/10.1097/00042737-200405000-00010‌