Cara Mengatasi Sembelit

Jawapan Ringkas

Sembelit (dikenali sebagai constipation dalam Bahasa Inggeris) ialah keadaan di mana seseorang membuang air besar kurang daripada tiga kali seminggu, disertai najis yang keras, kering, dan sukar dikeluarkan. Ia adalah gejala, bukan penyakit, dan boleh diatasi melalui pengambilan air yang cukup, makanan berserat, probiotik seperti Yakult, senaman, dan jika perlu, ubat pelawas.

Apa itu sembelit?

Oh, leganya apabila dapat ‘membuang’ dengan lancar! Namun jika keadaan sebaliknya berlaku, perkara ini boleh menjejaskan mood serta aktiviti harian anda. Terlalu keras, terlalu cair, terlalu kerap ataupun jarang-jarang sekali? Sudah tiba masanya untuk anda lebih peka terhadap sistem penghadaman dan tabiat pembuangan air besar yang betul.

Sembelit merupakan suatu gejala dan bukanlah sejenis penyakit. Definisi umumnya adalah pergerakan usus yang kurang daripada tiga kali seminggu yang disertai dengan kesukaran untuk membuang air besar. Hampir semua individu akan mengalami masalah sembelit pada suatu ketika dalam hidup mereka. Mujurlah masalah ini boleh diatasi berpandukan sains!

Carta Najis Bristol

Mari kenali najis anda menerusi Carta Najis Bristol. Carta ini digunakan untuk menilai bentuk dan tekstur najis yang dihasilkan oleh tubuh badan kita mengikut skala yang bermula dari 1 (najis keras) hingga 7 (cair sepenuhnya). Najis yang normal adalah jenis najis yang berada pada skala 3 atau 4 kerana ia terbentuk dengan sempurna, teksturnya tidak terlalu keras atau terlalu cair serta bergerak dengan lancar. Bergantung pada situasi, terdapat beberapa cara yang anda boleh lakukan untuk mendapatkan tekstur najis yang ideal.

Tanda-tanda dan gejala sembelit

Mencegah lebih baik daripada mengubati. Sembelit boleh diatasi dengan cara pencegahan yang betul sebelum ia menjadi masalah serius. Mari kenal pasti gejala sembelit melalui pemantaun kendiri, antaranya:

  • Tidak membuang air besar dalam beberapa hari atau membuang air besar kurang daripada 3 kali dalam seminggu
  • Najis yang dikeluarkan keras, kering dan berketul-ketul
  • Perlu meneran dengan kuat ketika membuang air besar
  • Rasa sakit ketika membuang air besar
  • Rasa tidak lawas atau tidak puas selepas membuang air besar
  • Perut kembung, kejang atau sakit
  • Kurang selera makan akibat ketidakselesaan pada perut

Bagi kanak-kanak pula, terdapat beberapa gejala sembelit yang boleh diperhatikan sewaktu pembuangan air besar seperti:

  • Mengetap gigi, kaki disilangkan, mengepit punggung serta muka menjadi kemerahan akibat meneran atau memaksa najis keluar
  • Terdapat sedikit calitan atau cecair najis lembut pada pakaian dalam mereka

Masalah dan akibat sembelit

Mengabaikan masalah sembelit yang berterusan atau sering menahan diri untuk membuang air besar boleh menyebabkan timbulnya masalah buasir. Buasir berlaku akibat tekanan yang tinggi dalam saluran darah di dalam bahagian lubang dubur (rektum) atau kulit di sekitar lubang dubur (anus) menjadi bengkak atau radang kerana najis keras yang menekan dan meregangkan otot di bahagian tersebut.

Apabila bercakap tentang buasir, pasti kita akan membayangkan benjolan bengkak dirasai sekitar dubur, bukan? Sebenarnya, buasir dapat diklasifikasikan sebagai buasir dalaman dan buasir luaran, melalui kedudukan bengkak pada bahagian lubang dubur yang dapat dilihat secara fizikal. Buasir dalaman terbentuk melalui pembengkakan dalam dubur dan diikuti dengan pendarahan yang tidak menyakitkan yang dapat dilihat pada najis. Manakala, buasir luaran pula berlaku di sekitar bahagian luar kulit dubur. Terdapat benjolan yang sensitif disekeliling dubur yang menyebabkan kesakitan, kegatalan dan ketidakselesan sewaktu pembuangan atau ketika duduk.

Kesan yang serius daripada masalah sembelit yang berpanjangan juga boleh menjurus kepada terkeluarnya rektum daripada lubang dubur yang mengandungi lendir. Rektum yang telah terkeluar sehingga teruk dan kronik memerlukan rawatan seperti pembedahan untuk menahan usus daripada terkeluar atau dengan membaiki lapisan yang terkeluar.

Apakah punca masalah sembelit?

Sembelit biasanya terjadi apabila bahan buangan atau najis bergerak melalui saluran penghadaman dengan terlalu perlahan atau tidak dapat dikeluarkan secara berkesan dari dubur sehingga menyebabkan najis menjadi keras dan kering. Antara punca sembelit termasuklah:

  • Kurang pengambilan serat seperti buah-buahan, sayur-sayuran dan bijirin penuh
  • Kekurangan aktiviti fizikal dan gaya hidup tidak aktif
  • Tidak minum air dengan secukupnya
  • Gangguan hormon ketika mengandung, hipertiroidisme (badan menghasilkan terlalu banyak hormon tiroid), hipotiroidisme (badan menghasilkan terlalu sedikit hormon tiroid)
  • Sentiasa menahan keinginan untuk membuang air besar
  • Penyakit atau masalah kesihatan tertentu, seperti strok (paling umum)
  • Masalah berkaitan usus besar dan dubur
  • Tekanan, kegelisahan atau kemurungan

Cara melegakan masalah sembelit

Apakah perkara yang perlu dilakukan jika kita menghadapi masalah sembelit? Perubahan dari segi pola pemakanan dan gaya hidup biasanya disarankan untuk mengurangkan masalah sembelit. Jom ikuti petua untuk mudah buang air besar!

Air

Air adalah sumber kehidupan yang diperlukan oleh semua, kerana air memastikan sistem di dalam badan berjalan dengan lancar. Apabila seseorang individu mengalami dehidrasi, usus terpaksa menyerap air daripada najis sehingga menyebabkannya menjadi keras dan kering. Hal ini akan mengundang masalah sembelit. Oleh itu, pengambilan air yang secukupnya dapat membantu kita mencapai keseimbangan cecair di dalam badan ke tahap normal.

Probiotik

Probiotik adalah bakteria baik yang hidup secara semula jadi di dalam usus. Bakteria baik membantu untuk menjaga usus kita dan memastikan keseimbangan mikroflora seperti Bifidobacterium dan Lactobacillus di dalam usus. Kita boleh menambahkan bilangan bakteria baik dengan mengambil makanan yang kaya dengan probiotik. Makanan-makanan ini termasuklah tempeh, kimchi, yogurt, miso and minuman susu kultur seperti Yakult.

Bakteria baik ini bukan sahaja mampu merangsang penghadaman, tetapi ia juga boleh membantu meningkatkan sistem imun badan dengan menyekat pertumbuhan bakteria berbahaya. Selain itu, pengambilan probiotik juga boleh mengembalikan keseimbangan bakteria di dalam usus, merangsang pergerakan usus dan seterusnya mencegah masalah sembelit.

Setiap jenis probiotik yang berbeza akan memberikan manfaat yang berbeza. Lacticaseibacillus paracasei Shirota strain atau dikenali sebagai Shirota strain ialah probiotik eksklusif Yakult yang membantu meningkatkan fungsi usus. Shirota strain boleh merangsang pergerakan usus dengan meningkatkan penghasilan asid lemak rantai pendek, mengurangkan pH kolon serta meningkatkan metabolisme hempedu, secara tidak langsung dapat melegakan masalah sembelit.

Serat

Baik di tahap sembelit, normal mahupun cirit-birit pada skala najis, pengambilan serat dalam diet harian tetap penting untuk membantu pembuangan air besar. Secara umum, terdapat dua kategori serat iaitu serat tidak larut dan serat larut.

Serat larut menyerap air dan membentuk bahan seperti gel, yang akan melembutkan dan memperbaiki konsistensi najis. Serat jenis ini boleh ditemui dalam bran oat, barli, kacang dan kekacang, buah-buahan serta sayur-sayuran.

Serat tidak larut pula berfungsi sebagai ‘pelawas’ bagi memudahkan lagi pergerakan najis melalui saluran penghadaman untuk dibuang. Serat tidak larut biasanya terdapat dalam bran gandum, sayur-sayuran dan bijirin penuh.

Kafein

Pengambilan kafein boleh memberi kesan positif dan negatif terhadap sistem penghadaman. Kafein bersifat diuretik yakni meningkatkan proses pengeluaran air kencing dan akan mengurangkan isipadu cecair di dalam badan, yang menjurus kepada sembelit. Pada masa yang sama, kafein juga boleh bertindak sebagai perangsang kepada proses pergerakan usus, tetapi boleh menyebabkan cirit-birit sekiranya diambil secara berlebihan.

Sehubungan dengan itu, amalkan pengambilan kafein secara sederhana dan minum air dengan kerap supaya anda boleh mendapat manfaat kafein tanpa mendatangkan kesan buruk kepada badan.

Pengambilan Ubat

Fungsi ubat seperti laksatif atau julap (lebih dikenali sebagai ubat berak) adalah untuk mempercepatkan pergerakan usus atau melembutkan najis. Walaupun mudah untuk dibeli di farmasi, pengguna haruslah bijak ketika menggunakan ubat ini kerana ia boleh membahayakan kesihatan sekiranya diambil secara berlebihan. Berbincanglah dengan doktor terlebih dahulu untuk mengetahui apakah ubatan yang sesuai untuk anda.

Bersenam

Amalan bersenam boleh membantu mengurangkan masalah sembelit dengan mempercepatkan masa yang diambil oleh makanan untuk bergerak melalui usus besar sambil mengehadkan air yang diserap dari najis. Najis yang kering dan keras adalah sukar untuk disingkirkan. Selain itu, aktiviti sukan seperti senaman aerobik (contoh: berenang, berjoging, berbasikal, berlari, bola sepak dan lain-lain) juga boleh membantu merangsang pengecutan otot usus, seterusnya mengawal pergerakan usus.

Apabila anda mula melakukan perubahan kecil dan proaktif kepada pemakanan dan gaya hidup anda sekarang, anda telah meningkatkan kesihatan, kesejahteraan dan kebahagiaan anda secara keseluruhan. Cegah sebelum terlambat!

Pernahkah anda terfikir bagaimana tabiat gaya hidup dan pemakanan sebenarnya memainkan peranan besar dalam kesihatan sistem penghadaman anda? Dalam jangka masa yang panjang, gaya hidup yang tidak sihat boleh menjadi pencetus kepada pelbagai masalah penghadaman –  termasuk GERD (Gastroesophageal Reflux Disease).

Lebih daripada sekadar rasa tidak selesa, GERD yang tidak dirawat boleh menjejaskan kesihatan usus dan mengganggu keseimbangan mikrobiota penting dalam sistem penghadaman.

Ketahui lebih lanjut tentang tanda-tanda GERD dan cara mengatasinya untuk kesihatan usus yang lebih baik! Untuk informasi mengenai tanda-tanda GERD, sila layari artikel ini.

Soalan Lazim

Bilakah perlu berjumpa doktor untuk masalah sembelit?2026-10-05T16:26:59+08:00

Dapatkan nasihat doktor jika sembelit berterusan lebih tiga minggu, disertai sakit perut yang teruk, terdapat darah dalam najis, penurunan berat badan tanpa sebab, atau jika ubat pelawas tidak berkesan. Ini mungkin menandakan masalah kesihatan yang memerlukan pemeriksaan lanjut.

Apakah kesan sembelit jika tidak dirawat?2026-10-05T16:26:40+08:00

Sembelit yang berpanjangan boleh menyebabkan buasir akibat tekanan tinggi pada saluran darah di dubur, najis tersekat, dan dalam kes teruk, rektum boleh terkeluar (prolaps rektum). Merawat sembelit awal melalui pemakanan dan gaya hidup sihat penting untuk mengelakkan komplikasi ini.

Berapa banyak air perlu diminum untuk mengelakkan sembelit?2026-10-05T16:26:22+08:00

Untuk mengelakkan sembelit, minum sekurang-kurangnya 6 hingga 8 gelas air sehari. Apabila badan mengalami dehidrasi, usus menyerap air daripada najis sehingga menjadi keras dan kering. Pengambilan air yang cukup memastikan najis kekal lembut dan mudah dikeluarkan.

Makanan apa yang membantu melancarkan buang air besar?2026-10-05T16:26:03+08:00

Makanan yang membantu melancarkan buang air besar termasuk buah-buahan (betik, epal, pear), sayur-sayuran berdaun hijau, bijirin penuh, oat, kacang dan kekacang. Makanan ini kaya serat larut dan tidak larut yang melembutkan najis dan memudahkan pergerakannya melalui usus.

Adakah minum Yakult membantu mengatasi sembelit?2026-10-05T16:25:43+08:00

Ya, Yakult boleh membantu melegakan sembelit. Yakult mengandungi strain Lacticaseibacillus paracasei Shirota strain yang merangsang pergerakan usus dengan meningkatkan penghasilan asid lemak rantai pendek dan mengurangkan pH kolon. Pengambilan harian membantu menyeimbangkan bakteria baik dalam usus dan melancarkan pembuangan air besar.

Bagaimana cara menghilangkan sembelit dengan cepat?2026-10-05T16:25:22+08:00

Untuk melegakan sembelit dengan cepat, minum lebih banyak air, ambil makanan tinggi serat seperti buah dan sayur, lakukan senaman ringan, dan minum minuman probiotik seperti Yakult. Elakkan menahan keinginan membuang air besar. Jika tiada perubahan selepas beberapa hari, dapatkan nasihat doktor.

Apakah ubat sembelit untuk dewasa yang boleh dibeli di farmasi?2026-10-05T16:25:00+08:00

Di farmasi Malaysia, ubat sembelit untuk dewasa termasuk laksatif osmotik (seperti laktulosa), ubat pelawas serat, dan pelembut najis. Ubat ini mudah didapati tanpa preskripsi, tetapi harus digunakan mengikut arahan. Penggunaan berlebihan boleh membahayakan kesihatan, jadi berbincanglah dengan ahli farmasi.

Apakah ubat sembelit yang paling berkesan?2026-10-05T16:24:42+08:00

Ubat sembelit yang paling berkesan bergantung pada punca dan keterukan. Pilihan biasa termasuk ubat pelawas pukal (serat), ubat osmotik, ubat perangsang, dan pelembut najis. Untuk kes ringan, penambahan serat, air, dan probiotik sudah memadai. Rujuk doktor atau ahli farmasi sebelum menggunakan ubat pelawas.

Apakah tanda-tanda sembelit?2026-10-05T16:24:22+08:00

Tanda sembelit termasuk najis keras dan kering, perlu meneran dengan kuat, rasa sakit ketika membuang air besar, rasa tidak puas selepas membuang air besar, serta perut kembung atau sakit. Kurang selera makan juga boleh berlaku akibat ketidakselesaan pada perut.

Apakah punca utama sembelit?2026-10-05T16:24:03+08:00

Punca utama sembelit termasuk kurang pengambilan serat, tidak minum air secukupnya, kurang aktiviti fizikal, kerap menahan keinginan membuang air besar, tekanan atau kegelisahan, serta perubahan hormon semasa mengandung. Sesetengah masalah kesihatan seperti hipotiroidisme juga boleh menyumbang kepada sembelit.

Berapa hari tidak membuang air besar dikira sembelit?2026-10-05T16:23:45+08:00

Anda dianggap mengalami sembelit jika membuang air besar kurang daripada tiga kali seminggu. Jika anda tidak membuang air besar selama lebih tiga hari secara berterusan, atau seminggu tanpa pergerakan usus, sebaiknya dapatkan nasihat doktor untuk mengelakkan komplikasi.

Apa maksud sembelit?2026-10-05T16:23:21+08:00

Sembelit bermaksud pergerakan usus kurang daripada tiga kali seminggu, disertai najis yang keras dan sukar dikeluarkan. Dalam Bahasa Inggeris, sembelit dikenali sebagai constipation. Ia adalah gejala biasa yang boleh dialami sesiapa sahaja, dan bukanlah sejenis penyakit.

About The Author

This content is reviewed and/or written by the Yakult Malaysia Editorial Team of dietitians, nutritionists, and food technologists to ensure scientific accuracy. Learn more about our expert team and editorial standards here.

Go to Top