

Apakah Penyakit Gastrik?
Penyakit gastrik, atau gastritis, adalah keradangan pada lapisan perut. Keadaan ini disebabkan oleh pelbagai faktor, termasuk jangkitan bakteria seperti Helicobacter pylori, pengambilan alkohol yang berlebihan, stres, penggunaan ubat anti-inflamasi nonsteroid (NSAID), dan kekerapan makan makanan yang pedas atau masam.
Adakah anda mengalami gastrik atau hanya sekadar sakit perut? Jom semak simptom-simptom gastrik yang mungkin dialami:
- Rasa pedih dan sakit pada bahagian abdomen atas
- Sedu
- Loya dan muntah
- Hilang selera makan
- Ketidakhadaman selepas makan
- Kembung perut
- Najis berwarna hitam atau gelap (jika gejala gastrik sudah menjadi lebih teruk)
Probiotik untuk Gastrik: Bakteria Baik yang Diperlukan untuk Usus Anda
Pernah rasa pedih, tidak selesa di perut atau rasa seperti sistem penghadaman tidak berfungsi dengan baik? Atau anda mungkin pernah terlepas waktu makan dan merasakan perut masuk angin, kerap sendawa atau loya? Jika jawapannya ya, anda mungkin mengalami masalah gastrik angin. Masalah gastrik angin atau gastrik biasa seperti pedih ulu hati, ketidakhadaman dan ulser bukan hanya mengganggu keselesaan perut, bahkan juga boleh memberi kesan besar kepada kehidupan seharian anda.
Pedih ulu hati boleh mengganggu tidur anda, sementara ketidakhadaman boleh menyebabkan kembung dan rasa tidak selesa yang mengganggu aktiviti harian. Ulser, iaitu luka pada lapisan perut boleh menyebabkan kesakitan yang teruk dan mungkin memerlukan perhatian perubatan. Gastrik tercetus apabila berlakunya keradangan pada lapisan perut yang menyebabkan rasa tidak selesa dan sakit di bahagian perut. Kurang selera makan dan loya yang berpanjangan juga boleh berpunca daripada masalah gastrik. Jika tidak dirawat dan dibiarkan berlarutan, keadaan ini boleh membawa kepada masalah yang lebih serius.
Namun, bagaimana jika ada cara untuk memberi perut anda sedikit sokongan dan membantu penghadaman berjalan lancar? Inilah masanya untuk berkenalan dengan probiotik untuk gastrik – rakan terbaik untuk sistem penghadaman anda. Bakteria baik yang bermanfaat ini bukan sahaja membantu kesihatan penghadaman, malah mungkin menjadi kunci kepada perut yang lebih sihat dan bahagia.


Hubungan Usus-Gastrik
Sebelum kita ketahui apakah probiotik terbaik untuk gastrik , mari fahami terlebih dahulu hubungan di antara usus dan gastrik.
Usus manusia mengandungi mikrobiota usus yang memainkan peranan penting dalam sistem penghadaman dan juga kesihatan keseluruhan tubuh. Tahukah anda apa itu mikrobiota usus? Mikrobiota usus terdiri daripada trilion spesis bakteria yang mempunyai peranan penting dalam menjaga kesihatan usus. Terdapat dua jenis bakteria yang tinggal di dalam usus: bakteria baik yang memberikan faedah kesihatan dan bakteria jahat yang boleh menyebabkan masalah kesihatan. Mikrobiota usus yang seimbang dapat meningkatkan kesihatan kita, tetapi jika berlaku ketidakseimbangan, ia boleh mengubah cara bakteria ini berfungsi dan menimbulkan masalah penghadaman seperti gastrik.
Pelik, kan? Ketidakseimbangan mikrobiota usus juga boleh menyumbang kepada masalah gastrik. Tetapi, bagaimana ia boleh berlaku? Disbiosis terjadi apabila jumlah bakteria jahat melebihi bakteria baik. Kehadiran bakteria jahat yang berlebihan meningkatkan penghasilan toksin di usus, yang seterusnya mengganggu keseimbangan usus. Pertumbuhan bakteria jahat ini juga boleh mendorong inflamasi pada saluran gastrousus yang menghasilkan simptom seperti pedih ulu hati, ketidakhadaman dan sakit di bahagian perut.
Bagaimana Probiotik Membantu Mengatasi Masalah Gastrik?
“Probiotik adalah bakteria baik yang hidup apabila diambil dalam jumlah yang mencukupi dapat memberi manfaat Kesihatan kepada kita” – WHO, 2001. Berdasarkan keterangan tersebut, probiotik ini dapat membantu mengatasi masalah gastrik dengan membantu memulihkan keseimbangan mikrobiota usus dengan menambah bakteria baik dan mengurangkan bakteria jahat yang boleh menghasilkan toksin.
Masih ada lagi kebaikan probiotik untuk gastrik yang mungkin anda belum tahu? Ya, fungsi probiotik untuk gastrik juga adalah memperkuatkan usus dengan merangsang penghasilan mukosa yang melindungi lapisan usus, mengurangkan keradangan serta memperbaiki penghadaman. Apabila mikrobiota usus berada dalam keadaan seimbang, masalah gastrik juga dapat berkurang!


Tip Memilih Probiotik yang Tepat untuk Mengatasi Gastrik
Bolehkah mengambil probiotik untuk gastrik? Dengan pelbagai pilihan suplemen dan minuman probiotik untuk gastrik yang ada di pasaran, membuat pilihan yang tepat untuk kesihatan gastrik anda boleh menjadi satu cabaran. Jangan risau, ikuti beberapa panduan asas untuk membantu anda membuat pilihan yang lebih bijak:
- Kesesuaian Dos
Keberkesanan probiotik sering diukur dalam CFU, atau Unit Pembentuk Koloni. Pengiraan ini menunjukkan jumlah bakteria hidup yang terdapat dalam suplemen tersebut. Untuk mengatasi masalah gastrik, cari probiotik dengan sekurang-kurangnya 1 bilion CFU setiap sajian bagi memastikan anda mendapat jumlah bakteria baik yang mencukupi untuk menyokong kesihatan usus. Dos probiotik adalah berbeza mengikut kesesuaian dan keperluan individu, faktor kesihatan dan produk tertentu. Penting untuk mengikuti dos yang disarankan pada label atau dapatkan konsultasi profesional kesihatan berdaftar untuk kesihatan gastrik.
- Jenis Strain Probiotik
Setiap strain probiotik menawarkan manfaat yang berbeza, khususnya dalam menangani masalah gastrik. Terdapat dua kumpulan probiotik iaitu Lactobacillus dan Bifidobacterium, telah terbukti dalam membantu mengatasi isu gastrik. Kumpulan bakteria jenis Lactobacillus berupaya untuk menghalang kerosakan usus akibat jangkitan bakteria serta menghalang pertumbuhan bakteria yang boleh menyebabkan masalah gastrik. Kajian juga mendapati bahawa penggunaan Lacticaseibacillus paracasei Shirota strain melalui in vitro dapat mengurangkan pertumbuhan bakteria H. pylori yang dikaitkan dengan ulser peptik, kronik gastritis dan kanser gastrik.
Kumpulan bakteria jenis Bifidobacterium pula lebih dikenali kerana keupayaannya untuk memperbaiki masalah pencernaan serta melindungi perut daripada masalah asid. Kajian yang dijalankan ke atas pesakit yang mengalami ulser peptik atau gastrik ulser yang disebabkan oleh jangkitan H. pylori menunjukkan bahawa pengambilan Bifidobacteria dapat menghalang pertumbuhan bakteria tersebut dengan meningkatkan penghasilan lendir di usus, seterusnya memperbaiki masalah gastrik.
- Memilih Jenama yang Dipercayai
Apabila bercakap tentang probiotik, kualiti adalah penting. Pilih jenama yang terkenal dan telah melalui kajian untuk keberkesanannya serta memberikan maklumat produk yang jelas. Selain itu, elakkan produk dengan bahan tambahan yang tidak perlu kerana ini boleh mengurangkan manfaat probiotik.
Penggunaan Probiotik untuk Melegakan Gastrik
Apakah perkara penting yang perlu dititikberatkan sekiranya saya ingin mengambil probiotik untuk gastrik? Bagaimana pula pengambilan probiotik untuk gastrik angin? Untuk menggunakan probiotik dengan berkesan dalam melegakan masalah gastrik, terdapat beberapa perkara penting yang perlu diambil kira mengenai penyimpanan, pengambilan dan keberkesanan probiotik tersebut:
- Penyimpanan yang Betul
Probiotik perlu disimpan dengan betul kerana kebanyakan strain sangat sensitif kepada faktor persekitaran seperti suhu, cahaya dan kelembapan. Probiotik biasanya perlu disimpan di tempat yang sejuk dan kering. Sentiasa baca arahan penyimpanan dan periksa juga tarikh luput kerana bakteria baik boleh kehilangan keberkesanannya dari semasa ke semasa.
- Panduan Pengambilan
Bagi mereka yang mula mengambil probiotik untuk gastrik, probiotik disarankan untuk diambil selepas makan dan elakkan pengambilan apabila perut kosong, kerana perut kurang berasid dan ini membantu probiotik untuk sampai ke usus dengan lebih berkesan tanpa gangguan daripada asid perut.
Kajian terkini juga mendapati probiotik Yakult, Lacticaseibacillus paracasei Shirota strain boleh diambil pada bila-bila masa kerana kemampuannya bertahan terhadap asid perut dan terbukti berkesan hidup hingga ke usus. Probiotik disyorkan untuk diambil setiap hari pada waktu yang sesuai dengan rutin harian anda. Sesetengah individu mendapati lebih selesa mengambil probiotik secara tetap, terutamanya semasa sarapan.
Namun, perlu diingatkan bahawa probiotik hadir dalam pelbagai jenis strain dan bentuk, seperti kapsul, serbuk atau cecair. Setiap strain mempunyai cadangan pengambilan yang berbeza untuk setiap keperluan, jadi pastikan anda membaca label untuk mengetahui panduan pengambilan yang sesuai.
- Jangka Masa untuk Keberkesanan
Pengambilan probiotik untuk gastrik memerlukan tempoh masa yang berbeza untuk menunjukkan kesan terhadap kesihatan. Sesetengah individu mungkin melihat manfaatnya dalam beberapa hari selepas pengambilan probiotik, namun peningkatan yang lebih ketara biasanya mengambil masa beberapa minggu hingga ke beberapa bulan. Tempoh keberkesanan ini bergantung kepada strain probiotik yang digunakan, tahap masalah gastrik serta diet dan gaya hidup individu. Oleh itu, kesabaran adalah penting – beri masa kepada badan untuk menyesuaikan diri dan membina keseimbangan dalam mikrobiom usus.


Tip Gaya Hidup untuk Menangani Masalah Gastrik
Mengurus masalah berkaitan gastrik memerlukan pendekatan menyeluruh yang melibatkan perubahan gaya hidup. Selain pengambilan probiotik untuk gastrik, cuba lakukan beberapa penyesuaian gaya hidup yang positif untuk membantu mengatasi masalah gastrik sambil menikmati kehidupan yang lebih ceria.
- Amalkan pemakanan yang sihat dan seimbang
- Kurangkan pengambilan makanan yang pedas, berasid, berminyak, makanan diproses, tenusu dan gluten.
- Kurangkan pengambilan minuman berkafein dan alkohol
- Makan dalam kuantiti yang sedikit
- Kunyah makanan dengan perlahan
- Jangan skip waktu makan!
- Lebihkan pengambilan makanan yang diperkaya dengan serat dan minum air yang mencukupi
- Amalkan pengambilan susu probiotik untuk gastrik seperti Yakult (mengandungi Lacticaseibacillus paracasei Shirota strain)
- Kawal stres
- Dapatkan tidur yang cukup (7-8 jam setiap hari)
- Elak dan kurangkan tabiat seperti merokok atau vaping
- Amalkan meditasi seperti solat atau yoga
- Elakkan pengambilan ubat tahan sakit secara berlebihan
- Pengambilan ubat anti-radang bukan steroid (NSAIDS) yang berpanjangan boleh menyebabkan gangguan kepada masalah gastrik. Oleh itu, cuba kurangkan pengambilan ubat-ubatan tersebut sekiranya anda pernah dirawat dengan masalah gastrik.


Probiotik dalam Makanan Harian
Bagi yang ingin meningkatkan pengambilan probiotik atau mereka yang baru memulakan pengambilan probiotik untuk gastrik, terdapat pelbagai makanan kaya dengan bakteria baik yang bermanfaat. Menggabungkan makanan ini ke dalam diet harian boleh memberikan kesan positif khususnya dalam membantu masalah gastrik. Berikut merupakan sumber probiotik untuk gastrik yang dapat membuatkan perut dan usus anda gembira:
Yogurt – Yogurt merupakan salah satu sumber probiotik yang terkenal. Yogurt diperbuat daripada susu yang difermentasi oleh bakteria mesra, terutamanya bakteria asid laktik dan bifidobakteria. Namun, tidak semua yogurt mengandungi probiotik hidup, misalnya proses pembuatan juga kadangkala boleh membunuh bakteria hidup. Jadi pilih yogurt yang mempunyai “kultur aktif” atau “kultur hidup”.
Tapai – Tapai adalah makanan tradisional yang popular di Asia Tenggara, diperbuat daripada bahan berkanji seperti beras pulut, dengan proses fermentasi yang melibatkan campuran ragi dan bakteria asid laktik. Ia menawarkan sumber probiotik yang bermanfaat untuk kesihatan usus, menyokong sistem imun dan mengandungi nutrisi yang kaya dengan vitamin dan mineral.
Tempeh – Tempeh adalah produk soya yang dihasilkan melalui proses fermentasi menggunakan bakteria asid laktik dan kulat. Ia popular sebagai pengganti daging kerana kandungan proteinnya yang tinggi serta mineral seperti vitamin B12 yang biasanya terdapat dalam produk berasaskan haiwan, menjadikannya pilihan baik untuk diet berasaskan tumbuhan. Selain itu, tempeh mengandungi sumber probiotik yang baik. Tempeh biasanya dimasak, yang menyebabkan probiotik dinyahaktifkan dan menjadi paraprobiotik. Paraprobiotik iaitu sel probiotik yang mati dalam tempeh turut berfungsi merangsang antibodi dalam badan.
Kefir – Kefir adalah minuman susu yang ditapai daripada bijirin kefir yang mengandungi kultur bakteria asid laktik dan yis. Minuman kefir telah dikaitkan dengan pelbagai manfaat kesihatan seperti membantu masalah penghadaman dan melindungi daripada jangkitan. Ia juga menjadi pilihan yang baik bagi mereka yang mengalami intoleransi laktosa.
Kimchi – Makanan tradisi Korea ini kebiasaannya diperbuat daripada kubis atau sayur-sayuran yang diperam dengan rasa pedas. Kimchi turut kaya dengan beberapa vitamin dan mineral termasuk vitamin K, vitamin B2 dan zat besi, serta mengandungi pelbagai sumber bakteria asid laktik yang mungkin bermanfaat kepada kesihatan penghadaman.
Kombucha – Minuman teh hitam atau hijau yang diperam ini semakin popular dan mendapat perhatian kerana gabungan unik fitokimia, metabolit dan mikroorganisma. Proses fermentasi kultur bakteria dan kulat menghasilkan pelbagai metabolit bioaktif termasuk vitamin, asid amino dan etanol. Kombucha sebagai sumber probiotik turut membantu dalam menyumbang kepada komuniti mikrobiom usus yang sihat.
Miso – Miso adalah pes soya yang diperam, sering digunakan dalam masakan Jepun sebagai bahan perasa. Miso merupakan sumber protein dan serat yang baik serta kaya dengan pelbagai vitamin, mineral, sebatian tumbuhan dan mikroorganisma. Terdapat kajian mendapati individu yang mengambil sup miso setiap hari mempunyai risiko yang lebih rendah untuk mengalami penyakit perut seperti gastritis berbanding mereka yang jarang mengambil miso.
Sauerkraut – Hidangan makanan yang popular di Eropah Timur, sauerkraut adalah kubis yang dicincang halus dan diperam oleh bakteria asid laktik. Selain daripada manfaat probiotiknya, sauerkraut juga kaya dengan vitamin, mineral dan antioksidan yang menawarkan manfaat kesihatan yang jauh berbanding kubis segar. Makanan ini boleh bertahan selama berbulan jika disimpan dalam bekas kedap udara.
Minuman probiotik – Minuman probiotik adalah minuman kesihatan yang diperkaya dengan sejumlah probiotik tertentu, terutamanya minuman susu kultur. Ia menawarkan cara pengambilan yang mudah untuk meningkatkan kesihatan usus. Sesetengah minuman probiotik turut disertakan dengan kajian yang menunjukkan pelbagai manfaat termasuk meningkatkan kesihatan usus, memperkuat sistem imun, menyokong kesihatan mental, memperbaiki kesihatan kulit dan banyak lagi. Minuman probiotik juga sesuai untuk mereka yang mengalami intoleransi laktosa.
Kesimpulan
Mengabaikan masalah gastrik yang sering berlaku boleh menyebabkan komplikasi kesihatan yang lebih serius. Jika anda mengalami simptom gastrik yang berterusan, dapatkan rawatan daripada pakar perubatan dengan segera dan elakkan membuat andaian sendiri. Mulakan perjalanan ke arah kehidupan yang lebih sihat dengan mengamalkan pemakanan seimbang, mempertimbangkan pengambilan probiotik untuk gastrik dalam diet harian, mengurangkan penggunaan ubat anti-radang yang berlebihan dan menghindari tabiat merokok. Ingat, mencegah lebih baik daripada mengubati.
References
- 11 Probiotic Foods That Are Super Healthy. (2018, August 28). Healthline. https://www.healthline.com/nutrition/11-super-healthy-probiotic-foods#kefir
- Dempsey, E., & Corr, S. C. (2022). Lactobacillus spp. for Gastrointestinal Health: Current and Future Perspectives. Frontiers in Immunology, 13(840245), 840245. https://doi.org/10.3389/fimmu.2022.840245
- How To Pick the Best Probiotic. (n.d.). Cleveland Clinic. https://health.clevelandclinic.org/how-to-pick-the-best-probiotic-for-you
- Hrncir, T. (2022). Gut Microbiota Dysbiosis: Triggers, Consequences, Diagnostic and Therapeutic Options. Microorganisms, 10(3), 578. https://doi.org/10.3390/microorganisms10030578
- Hussin, M., Anzian, A., Liew, C. X.-Q., Muhialdin, B. J., Mohsin, A. Z., Fang, C.-M., Saad, M. Z., Ahmad, N. H., Hassan, M., Adnan, H., & Meor Hussin, A. S. (2022). Potentially Probiotic Fermented Glutinous Rice (Oryza sativa L.) with Lactiplantibacillus plantarum Improved Immune System Response in a Small Sample of BALB/cByJ Mice. Fermentation, 8(11), 612. https://doi.org/10.3390/fermentation8110612
- Jiang, X., Xu, C., Liu, B., Chen, P., Xu, Q., & Zhang, L. (2023). Efficacy and safety of bifidobacterium quadruple viable tablets in the treatment of Helicobacter pylori-infected peptic ulcer or gastritis patients: a systematic review and meta-analysis. BMC infectious diseases, 23(1), 313. https://doi.org/10.1186/s12879-023-08211-1
- Park, K.-Y., Jeong, J.-K., Lee, Y.-E., & Daily, J. W. (2014). Health benefits of kimchi (Korean fermented vegetables) as a probiotic food. Journal of Medicinal Food, 17(1), 6–20. https://doi.org/10.1089/jmf.2013.3083
- Rosa, D. D., Dias, M. M. S., Grześkowiak, Ł. M., Reis, S. A., Conceição, L. L., & Peluzio, M. do C. G. (2017). Milk kefir: nutritional, microbiological and health benefits. Nutrition Research Reviews, 30(1), 82–96. https://doi.org/10.1017/s0954422416000275
- Rowe, N. (2017, March 16). 4 Best Probiotics for GERD and Acid Reflux. GoodRx; GoodRx. https://www.goodrx.com/conditions/heartburn/probiotics-acid-reflux
- Saeed, F., Afzaal, M., Shah, Y. A., Khan, M. H., Hussain, M., Ikram, A., Ateeq, H., Noman, M., Saewan, S. A., & Khashroum, A. O. (2022). Miso: A traditional nutritious & health‐endorsing fermented product. Food Science & Nutrition, 10(12). https://doi.org/10.1002/fsn3.3029
- Sakit Perut Sampai Najis Berubah Warna? Hati-hati! Anda Mungkin Terkena Gastrik Angin!(2023, June 7). Hello Doktor. https://hellodoktor.com/penyakit-perut-gastrousus/gastrik/tanda-gastrik-angin/#google_vignette
- Sgouras, D., Maragkoudakis, P., Petraki, K., Martinez-Gonzalez, B., Eriotou, E., Michopoulos, S., Kalantzopoulos, G., Tsakalidou, E., & Mentis, A. (2004). In vitro and in vivo inhibition of Helicobacter pylori by Lactobacillus casei strain Shirota. Applied and environmental microbiology, 70(1), 518–526. https://doi.org/10.1128/AEM.70.1.518-526.2004
- Subali, D., Christos, R. E., Givianty, V. T., Ranti, A. V., Kartawidjajaputra, F., Antono, L., Dijaya, R., Taslim, N. A., Rizzo, G., & Nurkolis, F. (2023). Soy-Based Tempeh Rich in Paraprobiotics Properties as Functional Sports Food: More Than a Protein Source. Nutrients, 15(11), 2599. https://doi.org/10.3390/nu15112599
- Wallace, K. (2023, February 21). Integrative Telemedicine. Integrative Telemedicine by Infusion Health. https://integrativetelemedicine.com/leaky-gut/leaky-gut-vs-gastritis-whats-the-difference/