Apa itu Cirit-Birit?

Cirit-birit (cirit-birit in English dikenali sebagai diarrhea), didefinisikan sebagai pembuangan najis yang cair atau berair secara kerap sebanyak sekurang-kurangnya 3 kali atau lebih dalam sehari. Ia berlaku apabila sistem penghadaman gagal menyerap air dan nutrien dengan sempurna, atau apabila berlaku peningkatan dalam pergerakan usus, menyebabkan kandungan najis tidak sempat diproses dengan betul oleh kolon (usus besar).

Cirit-birit boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tidak kira usia dan memberikan pengalaman yang tidak menyeronokkan! Lebih merisaukan lagi, ia lebih berisiko kepada golongan kanak-kanak, warga tua dan individu yang mempunyai sistem imun yang lemah kerana mereka lebih mudah mengalami dehidrasi yang serius akibat kehilangan cecair yang banyak. Jangan risau, terdapat beberapa cara yang boleh dilakukan untuk menangani masalah cirit birit.

Masalah cirit-birit boleh berlaku secara akut (jangka masa pendek) atau secara kronik (jangka masa yang panjang) bergantung daripada punca yang menyebabkan terjadinya masalah tersebut.

Menariknya, masalah gastrik juga boleh mencetuskan cirit-birit, terutamanya apabila radang perut atau pengambilan ubat gastrik tertentu menyebabkan ketidakseimbangan dalam sistem penghadaman. Keadaan ini dikenali sebagai cirit-birit gastrik, dan biasanya hadir bersama simptom seperti loya, pedih ulu hati, dan kembung perut.

Jenis Cirit-Birit

Terdapat beberapa jenis cirit-birit yang biasa dikenal pasti antaranya:

  • Cirit-Birit Akut: dikategorikan sebagai cirit-birit melebihi 3 hari. Kebiasaannya terjadi disebabkan oleh jangkitan virus atau daripada pengambilan makanan yang tercemar.
  • Cirit-Birit Berpanjangan: Berlaku diantara 2 ke 4 minggu
  • Cirit-Birit Kronik: Berlaku lebih daripada 4 minggu. Ini mungkin menandakan berlakunya masalah usus seperti malabsorpsi, Irritable Bowel Syndrome(IBS) atau hasil kesan sampingan daripada pengambilan ubat-ubatan. Cirit-birit kronik pula terbahagi kepada tiga jenis iaitu: cirit-birit air, cirit-birit berminyak atau cirit-birit radang.
    • Cirit-birit air: Hasil daripada malabsorpsi karbohidrat sebagai contoh, intoleransi laktosa, fruktosa atau sorbitol.
    • Cirit-birit berminyak: Terjadi apabila usus tidak dapat memecahkan dan menyerap lemak atau apabila bakteria di dalam usus menghasilkan lemak asid yang berlebihan.
    • Cirit-birit radang: Berlaku disebabkan radang pada kolon (usus besar) yang menyebabkan dinding menjadi bengkak dan sukar untuk menyerap air.

Punca Cirit-Birit

Punca utama bagi kebanyakan kes cirit-birit adalah disebabkan jangkitan virus, bakteria atau parasit yang menyerang usus. Keadaan ini juga dikenali sebagai ‘stomach flu‘ atau ‘stomach bug‘. Walaubagaimanapun, terdapat beberapa faktor lain yang boleh menyebabkan cirit-birit, antaranya adalah:

  1. Jangkitan: Patogen seperti virus, bakteria, dan parasit berpotensi menyebabkan jangkitan yang mengakibatkan cirit-birit. Norovirus lazimnya menjangkiti golongan dewasa dan merupakan punca utama kepada gastroenteritis. Sementara itu, Rotavirus sering dikaitkan dengan kes cirit-birit akut dalam kalangan kanak-kanak.
  2. Keracunan makanan: Selain daripada pengambilan makanan yang tercemar, air yang tidak bersih turut menjadi salah satu punca utama berlakunya keracunan makanan. Individu yang mengunjungi kawasan baharu, khususnya yang mempunyai tahap kebersihan yang rendah, turut berisiko tinggi terdedah kepada bakteria yang boleh mencetuskan cirit-birit.
  3. Ubat-ubatan: Cirit-birit daripada pengambilan ubat-ubatan merupakan salah satu kesan sampingan yang biasa berlaku. Sebagai contoh, antibiotik berfungsi untuk membunuh bakteria penyebab penyakit. Namun, pada masa yang sama, mereka juga boleh membunuh bakteria baik. Ketidakseimbangan ini boleh memberi gangguan kepada flora usus seterusnya mencetus masalah cirit-birit. Selain itu, penggunaan julap yang berlebihan juga boleh menyebabkan masalah yang sama.
  4. Intoleransi: Bagi individu yang mempunyai intoleransi laktosa, pengambilan produk tenusu yang mengandungi laktosa boleh menyebabkan cirit-birit, kerana tubuh tidak mampu mencerna gula tersebut dengan baik. Keadaan yang sama juga boleh berlaku sekiranya seseorang mempunyai intoleransi terhadap gula lain seperti fruktosa, sorbitol, atau manitol.

Simptom dan Gejala Cirit-Birit

Simptom cirit-birit selalunya dapat dilihat daripada najis yang cair atau berair. Terdapat juga beberapa simptom yang perlu diberi perhatian sekiranya anda rasa anda mengalami cirit-birit antaranya:

  • Kekerapan membuang najis melebihi 6 kali dalam sehari
  • Kembung atau kejang perut
  • Perasaan yang kuat dan terdesak untuk membuang air besar
  • Mual

Bagaimana pula jika anda mengalami cirit-birit yang teruk? Ini adalah simptom dan gejalanya:

  • Demam
  • Cirit-birit sakit perut
  • Cirit-birit dan muntahserentak
  • Terdapat darah atau lendir pada najis
  • Berat badan berkurangan
  • Dehidrasi
  • Keletihan
  • Mata kuyu

Sekiranya bayi atau kanak-kanak mempunyai simptom cirit-birit berwarna hijau dalam tempoh 24 jam, segera bawa berjumpa dengan doktor kerana boleh menyebabkan dehidrasi yang teruk.

Rawatan untuk Cirit-Birit

Apa yang perlu anda lakukan sekiranya mengalami masalah cirit-birit? Adakah terdapat rawatan yang boleh bermula dari rumah? Jom, ikuti cara merawat masalah ini!

Sekiranya anda mengalami cirit-birit akut:

  • Minum banyak air untuk elakkan dehidrasi. Atau anda boleh mengambil air garam untuk menambah elektrolit dalam badan
  • Ambil makanan yang tinggi serat untuk membantu memejalkan najis anda semula
  • Elakkan makanan berminyak, pedas atau susu (sekiranya anda intoleransi laktosa)
  • Rehat secukupnya
  • Ambil probiotik untuk memulihkan flora usus

Bagi cirit-birit gastrik, rawatan lebih tertumpu kepada mengawal simptom gastrik seperti mengelakkan makanan berasid, mengurangkan tekanan, dan menyesuaikan pengambilan ubat gastrik dengan nasihat doktor.

Rawatan bagi cirit-birit kronik bergantung kepada jenis cirit-birit yang dialami, sama ada berbentuk cirit-birit berair, berlemak, atau radang. Setelah punca dan jenisnya dikenal pasti melalui penilaian klinikal, barulah rawatan susulan yang bersesuaian dapat diberikan kepada pesakit. Hal ini kerana setiap jenis cirit-birit mempunyai kaedah rawatan yang berbeza bagi memastikan masalah tersebut dapat diatasi dengan berkesan

Kesimpulan

Menjaga kebersihan diri amat penting, terutamanya bagi individu yang terlibat dalam penyediaan makanan, bagi mencegah penularan penyakit seperti cirit-birit. Sekiranya anda mengalami cirit-birit, adalah disarankan untuk mengasingkan diri sehingga simptom pulih sepenuhnya bagi mengelakkan jangkitan kepada orang lain. Pengambilan probiotik turut digalakkan bagi membantu memulihkan keseimbangan flora usus. Amalan pengambilan probiotik secara harian amatlah digalakkan sebagai salah satu langkah pencegahan dan untuk mengekalkan fungsi usus yang baik. Ingat, pencegahan adalah lebih baik dari mengubati!

Bagi individu yang gemar melancong, ambillah langkah berjaga-jaga seperti minum air daripada botol, mengelakkan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran yang mentah, serta memastikan makanan yang diambil adalah dimasak dan dihidangkan panas.  Amalan pencegahan ini penting bagi mengurangkan risiko jangkitan saluran penghadaman seterusnya anda juga boleh menikmati masa melancong anda tanpa tanpa gangguan berulang ke tandas!

Rujukan

  1. Descoteaux-Friday GJ, Shrimanker I. Chronic Diarrhea. [Updated 2023 Aug 7]. In: StatPearls [Internet]. Treasure Island (FL): StatPearls Publishing; 2025 Jan-. Available from: https://www.ncbi.nlm.nih.gov/books/NBK544337/
  2. https://gi.org/topics/diarrhea-acute-and-chronic/
  3. https://gi.org/topics/diarrhea-acute-and-chronic/#tabs2
  4. https://my.clevelandclinic.org/health/diseases/24311-chronic-diarrhea
  5. https://my.clevelandclinic.org/health/diseases/4108-diarrhea
  6. https://www.healthline.com/health/diarrhea/chronic-diarrhea#prevention
  7. https://www.webmd.com/digestive-disorders/probiotics-diarrhea
  8. https://www.who.int/news-room/fact-sheets/detail/diarrhoeal-disease
  9. LaRocque R, Harris J. Patient education: acute diarrhea in adults (beyond the basics). UpToDate. Updated May 24, 2023. Accessed August 29, 2023. uptodate.com/contents/acute-diarrhea-in-adults-beyond-the-basicsExternal link
  10. Nemeth V, Pfleghaar N. Diarrhea. [Updated 2022 Nov 21]. In: StatPearls [Internet]. Treasure Island (FL): StatPearls Publishing; 2025 Jan-. Available from: https://www.ncbi.nlm.nih.gov/books/NBK448082/